KUALA LUMPUR – Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Ajak Shiro menitipkan pesanan buat rakan-rakan seindustri yang bermasam muka agar mengenepikan ego masing-masing dan kembali berbaik semula.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanafi Razak, 39, hubungan dengan sahabatnya, Shahrol Shiro juga kini telah pulih selepas masing-masing nekad untuk melupakan sengketa lama.
“Saya dan Shahrol masing-masing sudah tutup buku. Masalah antara kami sudah selesai. Kita kena turunkan ego dalam diri untuk kita bermaafan. Tiada siapa yang untung jika bergaduh.
“Untuk sahabat-sahabat saya yang mungkin sedang berada dalam situasi sama seperti saya, tiada orang lain yang boleh jernihkan keadaan kecuali diri kita sendiri.
“Percayalah sebenarnya masing-masing rindu, masing-masing sayang. Jumpa sendiri, dengar luahan masing-masing dan peluklah masing-masing, insya-Allah hilang semua sengketa,” katanya ketika ditemui pada sidang media Jelajah Suria Kuasa 2, di sini, hari ini.
Tambah Ajak lagi, dia juga mengambil masa kira-kira tiga tahun sebelum hubungannya bersama Shahrol kembali jernih.
“Semuanya bermula apabila Shahrol mesej saya ajak berjumpa. Ketika itu saya pulang beraya di Johor. Saya beritahu dia kalau nak jumpa, lebih baik di tempat yang tak ramai orang dan tiada kamera. Jadi kami bertemu di pejabatnya.
“Bila dah berjumpa, kami terus mengimbau kenangan lama. Dalam bilik dia masih tersimpan replika cek kemenangan kami sewaktu menyertai program Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega dulu.
“Bila kami dah bersalam dan berpelukan semuanya kembali pulih. Momen itu membuatkan saya rasa sebak,” kongsinya.
Kisah mengenai persengketaan Ajak dan Shahrol pernah mendapat perhatian ramai apabila masing-masing saling berbalas kenyataan dalam media sosial beberapa tahun lalu.
Sebelum Ajak dipilih sebagai penyampai radio Suria FM, Shahrol terlebih dahulu berkhidmat di stesen radio tersebut, namun ditamatkan perkhidmatan kerana dikatakan mempunyai masalah disiplin dan prestasi kerja yang kurang memuaskan. – KOSMO! ONLINE