TOKYO – Pihak berkuasa Jepun memberi amaran hari ini bahawa taufan ‘amat kuat’ yang melanda Pulau Kyushu akan membawa ribut ganas luar biasa, ketika tiga orang dilaporkan hilang akibat tanah runtuh.
Taufan Shanshan berada 120 kilometer dari Pulau Yakushima, membawa angin ribut sehingga 252 kilometer sejam dan menuju ke Pulau Kyushu yang menempatkan 12.5 juta penduduk.
“Taufan Shanshan dijangka menghampiri selatan Kyushu dengan kekuatan yang sangat kuat sehingga Khamis (esok),” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi kepada pemberita.
“Angin kencang, ombak tinggi, dan gelombang ribut pada paras yang tidak pernah dialami oleh sebelum ini diramalkan berlaku,” tambah Hayashi yang merupakan jurucakap tertinggi kerajaan.
Selain itu, kerajaan tempatan mengeluarkan nasihat pemindahan kepada 810,000 orang di wilayah Shizuoka di Pulau Honshu disebabkan hujan.
Seramai 56,000 yang lain di Kagoshima, Pulau Kyushu turut dikenakan amaran itu, kata agensi pengurusan kebakaran dan bencana.
Dalam pada itu, Japan Airlines membatalkan 112 penerbangan domestik dan enam penerbangan antarabangsa pada hari ini, manakala ANA Holdings membatalkan 112 penerbangan domestik pada hari ini, esok dan lusa. – AFP