PENYANYI Kunto Aji dan anggota band Nidji berdepan detik mencemaskan apabila pesawat dinaiki mengalami kebocoran tangki bahan bakar.
Ketika kejadian, pesawat tersebut bergerak dari landasan terminal tiga Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta untuk ke Pekanbaru, Riau.
Penyanyi dan komposer itu merakamkan situasi yang menunjukkan tumpahan minyak di landasan dari sudut sayap pesawat sebelum memuat naik video dalam aplikasi X dan Instagramnya.
“Astaghfirullah, pesawat saya bocor begini, mujur disedari, tak jadi terbang,” tulisnya pada keterangan video.
Dalam rakaman tersebut, jelas kelihatan bahan bakar mengalir deras di landasan ketika ‘take-off’.
“Nyawa saya baru sahaja diselamatkan, syukur masih ada umur. Pusing balik tak jadi terbang. Seram sangat,” katanya.
Kunto dan Nidji kemudian mengambil penerbangan lain untuk mengadakan persembahan di Riau.