KUALA LUMPUR – Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin mencuri tumpuan pengamal media apabila secara tiba-tiba hadir di lokasi insiden tanah jerlus Jalan Masjid India, di sini.
Ibrahim berkata, dia ingin membantu dalam mencari mangsa warga India, Vijayaletchumy, 48, yang masih gagal dikesan meskipun memasuki hari keenam.
“Saya datang bukan sebab apa, saya lihat mereka dah berhari jalankan usaha pencarian namun tak jumpa.
“Jadi, saya mahu tolong pencarian ini dan gunakan kaedah tertentu sekiranya saya dibenarkan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita.
Satu lagi tanah mendap dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi akibat hujan lebat semalam.
Kawasan Jalan Masjid India ditutup dengan garisan kuning dan dikawal ketat oleh anggota bertugas atas faktor keselamatan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang wanita dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi pada pagi Jumaat lalu. -KOSMO! ONLINE.