KUALA LUMPUR – “Semua pihak diharapkan jangan membuat spekulasi, kita tahulah setiap kali apa-apa saja berlaku, ramailah ‘pakar’ akan keluar”.
Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India, di sini, hari ini.
“Disebabkan ia (spekulasi) tidak membantu apa-apa, jadi biarlah pihak yang terlibat menjalankan siasatan.
“Sekarang ini, tumpuan kita adalah untuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dan kita kena jaga sensitiviti keluarga mangsa supaya fokus kepada operasi.
“Seterusnya, barulah kita boleh fokuskan untuk audit integriti bagi melihat apa dan di mana puncanya,” katanya.
Fadillah dilihat meninjau lokasi kejadian bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa kira-kira pukul 4 petang.
Mengulas lanjut mengenai keselamatan sekitar lokasi kejadian, beliau mengesahkan kawasan di sini adalah selamat dan menggesa orang awam agar mengikut arahan pihak bertugas atas faktor keselamatan.
“Untuk sekarang, kawasan ini selamat. Tempat-tempat yang dilarang jangan masuk dulu.
“Patuhilah segala arahan daripada pihak berwajib khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE