fbpx

Tak mustahil Malaysia tawan Raja Bukit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AIMAN pernah memenangi jersi Polka Dot sebagai Raja Bukit LTdL sewaktu edisi 2020 dan 2022.

PELUMBA Malaysia mampu merampas gelaran Raja Bukit pada perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas aksi edisi ke-28 kali ini tampak lebih seimbang dengan ketiadaan laluan di puncak Genting Highlands.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penganjur LTdL berharap akan ada kejutan yang mampu dilakar pelumba ketika saingan itu membuka tirai secara rasmi pada 29 September ini dengan membabitkan lapan peringkat perlumbaan termasuk aksi di bumi Sarawak

Impian melihat pelumba Malaysia menawan jersi merah Polka Dot sebagai Raja Bukit tidak mustahil kerana Muhammad Nur Aiman Zariff pernah memenanginya pada 2020 dan 2022 selain beberapa gelaran lain termasuk Raja Pecut diraih Anuar Manan sewaktu edisi 2010.

Malaysia pernah juga meraih gelaran pelumba terbaik Asia menerusi Adiq Husainie Othman pada 2016.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub optimis dengan kemampuan anak tempatan, namun memberi amaran saingan kali ini mencabar kerana beberapa pelumba terbaik dunia turut bersaing di LTdL 2024.

“Kalau kita menang, baguslah. Itu menunjukkan peningkatan kepada pelumba-pelumba kita tetapi pasukan yang kita jemput pun memang berada di tahap tertinggi, bertanding di Tour de France, Giro d’Italia dan sebagainya.

“Jadi, persediaan kita perlu di tahap tertinggi. Kita harap ada lagi pelumba yang dapat. Bukan setakat menang jersi Polka Dot tetapi kalau boleh gelaran (keseluruhan), namun ia mungkin sukar. Apapun, kalau ada kejutan, Alhamdulillah dan kita gembira dengan itu,” kata Rashid.

Pada edisi tahun lalu, Nur Aiman tidak berjaya mempertahankan gelaran Raja Bukit selepas disambar pelumba Tudor Pro Cycling Team dari Switzerland, Simon Pellaud.

LTdL 2024 bakal menyaksikan sebanyak 22 pasukan termasuk tiga berstatus WorldTeam iaitu Astana Qazaqstan, EF Education-Easypost dan Team DSM Firmenich Postnl.

Selain itu, tujuh pasukan ProTeam, sembilan pasukan benua yang merangkumi dua dari Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) serta tiga pasukan kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI