fbpx

Suami isteri dijel 28 hari, curi milo tampung kos dialisis ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDUA-DUA tertuduh mengaku bersalah mencuri 19 peket milo (2kg) di Mahkamah Majistret, Melaka, hari ini.

MELAKA – Sepasang suami isteri dipenjara 28 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri 19 peket milo 2 kilogram (kg) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, Julai lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Nor Azam Bakar, 34 dan Noor Azura Rosslan, 38, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama telah mencuri 11 peket milo 2kg yang bernilai RM493.57 milik pasar raya Aeon Ayer Keroh, dalam bangunan tersebut yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda pada pukul 8.02 malam, 16 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama-sama telah melakukan kesalahan sama keesokkan harinya pada pukul 8.45 malam dengan mencuri lapan peket milo 2 kg bernilai RM358.96 milik pasar raya sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali yang kedua atau kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan hendaklah juga dikenakan denda dan sebat.

Tertuduh lelaki bagaimanapun turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu mencuri lima peket Nescafe Refill Pack, satu peket kapas muka dan tisu tandas yang berjumlah RM250.50 milik pasar raya Setia Jaya.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 8.53 malam di pasar raya Setia Jaya, Jalan KL 3/13, Taman Kota Laksamana Jaya, dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Mei 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingg 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan tindakan anak guamnya itu adalah demi mencari wang untuk menampung kos rawatan dialisis ibu kepada Mohamad Nor Azam dengan menjual milo dicuri.

Tambahnya, pasangan itu juga menanggung lima orang anak termasuk dua daripadanya merupakan orang kelainan upaya (OKU) dengan si bapa hanyalah penjual burger, manakala si ibu bekerja sebagai tukang urut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu berturut-turut dan item dicuri bukanlah barangan keperluan yang mendesak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Khairunnisak kemudian menjatuhkan hukuman penjara 28 hari dan denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap setiap tertuduh atau dua minggu penjara jika gagal bayar.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap Mohamad Nor Azam bagi pertuduhan ketiga dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar. Hukuman itu bagaimanapun diperintahkan berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI