SEREMBAN – Padah menyimpan spesies kura-kura dilindungi tanpa kebenaran, sepasang suami isteri dijatuhi hukuman denda RM24,000 setiap seorang di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Orang Kena Saman (OKS) Lee Mun Heng, 65, dan isterinya, Lim Chai Hak, 50, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyimpan sembilan ekor kura-kura jenis Katub, African Spurred Tortoise dan Telinga Merah di kediaman mereka di Green Street Homes, Seremban 2, pada 2022.
Hakim Mazni Nawi turut memerintahkan kedua-dua OKS dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.
Mengikut empat pertuduhan, mereka secara bersama-sama menyimpan seekor kura-kura Katub jenis Betina, tiga ekor kura-kura Katub, dua ekor kura-kura African Spurred Tortoise dan tiga ekor kura-kura Telinga Merah tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama dan Kelima, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesemua kesalahan itu dilakukan di premis kediaman di Green Street Homes, Seremban 2 di sini lebih kurang pukul 9.30 pagi, 10 November 2022. – KOSMO! ONLINE