NEW DELHI – Seorang remaja di India melancarkan mogok lapar selama tiga hari semata-mata untuk mendesak ibunya untuk membelikan telefon pintar iPhone, lapor portal berita Oddity Central.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform X oleh akaun @AbhishekSay, ibu kepada remaja terbabit mendedahkan bahawa dia bekerja dengan menjual bunga di luar kuil.
“Saya menjual bunga di luar kuil dan memberikannya (anak) wang untuk membeli telefon kerana dia tidak makan apa-apa selama tiga hari.
“Saya gembira tetapi saya mahu dia memperoleh pendapatan sendiri dan memulangkan wang itu semula,” kata wanita tersebut.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dengan rata-rata netizen mengecam sikap remaja berkenaan dan menuduhnya menyeksa ibunya yang bekerja keras untuk membelikan iPhone.
“Menghabiskan wang sebanyak ini untuk iPhone apabila anda tidak bekerja, manakala ibu anda bekerja keras dengan menjual bunga. Ini tidak masuk akal,” kata seorang netizen. – AGENSI