KUALA LUMPUR – Gelaran Primadona Filem Melayu yang disandangnya ketika ini membuatkan nama Erra Fazira seringkali disebut netizen sebagai anak seni yang layak menerima gelaran Datuk.
Namun sehingga kini, belum rezeki Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 50, untuk menerima penganugerahan itu.
Menurut Erra, dia sendiri tidak tahu bagaimana harus menjawab pertanyaan tentang persoalan tersebut, tetapi dia terharu kerana ada peminat yang menganggap dirinya layak untuk mendapat pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan mahupun Yang di-Pertua Negeri itu.
“Saya tidak ambil pusing tentang perkara ini. Saya bukanlah orang yang tepat untuk komen tentang isu ini kerana ini bukan bidang saya.
“Pada saya ada ramai lagi selebriti senior yang lebih layak yang mempunyai jasa dan bakti untuk dapat gelaran Datuk.
“Kalau ramai yang berpendapat bahawa saya layak dapat gelaran Datuk, pada saya itu adalah pendapat mereka dan saya berterima kasih kerana itu sedikit sebanyak merupakan satu penghargaan buat saya.
“Biarlah saya tiada gelaran, tetapi apa yang mereka fikir dan rasa untuk saya sangat-sangat bermakna,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Kilauan Emas, di sini, semalam.
Namun kata pelakon filem Sembilu itu, dia tidak akan menolak seandainya satu hari nanti namanya terpilih sebagai salah seorang anak seni yang akan dianugerahkan gelaran Datuk.
“Kalau dapat, saya anggap itu satu rezeki. Kalau ada rezeki Alhamdulillah. Kalau tiada, saya tetap teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu nak rasa stres,” ujarnya.
Terbaharu, wajah jelita Erra akan kembali mewarnai kaca televisyen setiap hujung minggu bermula September depan apabila dia terpilih sebagai juri tetap program Kilauan Emas musim baharu.
Kata bekas Ratu Cantik Malaysia World 1992 itu dia teruja untuk kembali menjadi juri selepas tujuh tahun program yang mengangkat bakat warga emas itu direhatkan.
“Saya sangat teruja apabila dipanggil semula untuk jadi juri. Bagi saya program ini lain daripada yang lain.
“Kilauan Emas satu-satunya program yang memberi peluang kepada warga emas mempamerkan bakat mereka.
“Peserta untuk program ini lain dengan program pencarian bakat generasi muda. Mereka ini sudah berpengalaman, ada karakter tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara orang lain,” kongsinya.
Menampilkan 12 peserta, Kilauan Emas bakal bersiaran bermula 14 September, setiap Sabtu pukul 9 malam di saluran Astro Prima. – KOSMO! ONLINE