SKUAD Harimau Malaya dijamin tidak akan ‘kendur’ pada kempen Pestabola Merdeka 2024 selepas berjaya mendapatkan jentera serangan terbaik yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) kali ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui cukup gembira dengan senarai 26 pemain yang dipanggil terutama di posisi serangan kerana boleh memacu pasukan dalam usaha meraih keputusan positif nanti.
Kata Pau Marti, skuad yang dipanggil kali ini sudah pasti jauh lebih baik berbanding panggilan antarabangsa terakhir sewaktu pasukan kebangsaan masih dikendalikan pengendali Korea Selatan, Kim Pan-gon pada Jun lepas.
“Jika mahu dibandingkan dengan kem sebelum ini, kita tidak memiliki ramai penyerang, tetapi kali ini, kita ada ramai penyerang yang boleh digunakan. Saya yakin dengan kemampuan yang ada pada mereka.
“Secara jujur, kita berdepan kesukaran untuk mendapatkan penyerang terbaik kerana pasukan Liga M menggunakan khidmat penyerang import tetapi pemain tempatan juga memiliki kualiti yang bagus.
“Jadi, kita gembira dengan pilihan yang kita ada di bahagian serangan, posisi dan jentera tengah pasukan,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Sebagai rekod, pemain bertaraf bintang seperti Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok (Sabah FC) dan Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dipilih untuk mengetuai jentera serangan negara.
Pemain berpengalaman seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid (Terengganu FC) dan Paulo Josue (KL City) turut diserapkan pada panggilan kebangsaan kali ini.
Pau Marti akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada esok selepas memanggil 26 pemain untuk mengharungi Pestabola Merdeka pada bulan depan.
Skuad Harimau Malaya bakal melakukan debut bersama Pau Marti menentang Filipina pada 4 September nanti dengan kemenangan akan membawa Harimau Malaya ke perlawanan akhir.