fbpx

Penyelam Ranjau meninggal dunia, TLDM tubuh Lembaga Siasatan Khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LK I PLM Arman San meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang Penyelam Ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, di sini hari ini.

Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa, Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, 28, meninggal dunia kira-kira pukul 11.29 pagi ketika melakukan selaman.

“Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk bedah siasat dan akan dibawa ke Kampung Sapagaya, Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, TLDM akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi dugaan ini.

“TLDM menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan golongan yang beriman,”katanya.

KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipecayai akibat terlanggar objek bawah air pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam.

Insiden yang berlaku kira-kira 12 tengah hari itu terjadi di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Kota Tinggi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI