fbpx

Pelajar Kolej Vokasional maut kemalangan, rakan cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kemalangan membabitkan seorang pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja maut di kilometer 27, Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang tadi. -IHSAN POLIS

REMBAU – Seorang pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja maut apabila motosikal yang dia tunggang terbabit dalam nahas di kilometer 27, Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan kira-kira pukul 5.50 petang itu membabitkan motosikal jenis Yamaha dinaiki dua pelajar dan sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang warga emas berusia 78 tahun.

Menurutnya, mangsa, Farah Dilliya Aidel Mustafa, 19, beralamat di Nilai yang menunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik susulan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Rakannya pula yang juga perempuan berusia 19 tahun mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala di bawa ke Hospital Rembau. Manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin dan sebaik sampai di lokasi, penunggang motosikal telah memotong kereta yang sedang membelok ke simpang sebelah kanan.

“Kedua-dua pelajar berkenaan tercampak jatuh ke laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Shaik lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI