PETALING JAYA – Selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, sehingga ke hari ini Yuna masih lagi menerima komen negatif dan kecaman tentang penampilannya termasuk gaya pemakaian tudung yang dikatakan menampakkan bahagian leher.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 37, berkata, dia sering diminta untuk mengabaikan komen buruk tersebut namun, tindakan itu dilihat seperti membuka peluang kepada netizen untuk bercakap sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Orang selalu suruh saya abaikan komen ini (komen negatif), tapi benda ini perlu dibincangkan sebab kalau kita terus biarkan, orang akan bercakap sesuka hati kerana mereka berhak untuk berbuat begitu?
“Satu perkara yang lebih mengejutkan saya, sebagai seorang berumur 37 tahun dan sudah berkecimpung dalam dunia muzik selama 15 tahun, masih ada individu dalam komuniti saya meninggalkan komen sinis dan jahat.
“Suruh saya pakai baju seperti apa atau meminta saya menanggalkan hijab. Mereka berbuat begitu tanpa menghabiskan masa satu minit pun memahami situasi saya,” katanya dalam Instagram.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi lagu Crush itu turut memberitahu, situasi tersebut merupakan satu keadaan yang tidak sihat selain dia sendiri tidak mengenali individu terbabit.
“Hanya ada satu perkataan ini hal ini iaitu toksik (tidak sihat). Adakah ini yang kita semua inginkan? Bukankah kita diajar untuk saling menyayangi? Apa yang saya buat sehinggakan kamu begitu marah sekali.
“Saya tidak pernah bertemu dengan anda. Saya cuma menghasilkan lagu dan tidak pernah memberitahu anda bagaimana untuk meneruskan hidup. Jadi fikirkanlah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yuna juga tanpa ragu-ragu meminta pihak yang tidak berasa puas hati dengan dirinya boleh nyah ikut (unfollow) akaun media sosial miliknya.
“Saya harap anda jumpa jati diri anda sendiri. Sekarang apabila perkara ini sudah diperkatakan, sila nyah ikut saya jika anda berasa tidak puas hati dengan diri saya sekarang. Sebab saya ada banyak muzik, video baharu, promosi, persembahan dan sesi fotografi yang bakal mendatang.
“Sebarkan rasa cinta dan aura positif kepada semua pembenci (haters) kerana mereka benar-benar memerlukannya. Begitu juga kepada mereka yang mengatakan rindu kepada Yuna yang dulu turut boleh nyah ikut. Anda juga tidak kenal saya seperti mana sebelum ini. Terima kasih,” tegasnya.
Kenyataan Yuna itu turut mendapat sokongan daripada kakak iparnya yang juga selebriti popular Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari.
“Kata-kata. Saya sayang kamu. Jadilah diri sendiri,” tulisnya di ruangan komen.
Sebelum ini penampilan Yuna pernah dikritik gara-gara mengenakan hijab separuh bersama aksesori kilauan berlian di atasnya ketika hadir ke Minggu Fesyen New York pada September 2022. – KOSMO! ONLINE