KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengalu-alukan kerjasama Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) dan Smart Meal Group Holding Sdn Bhd (Smart Meal) dalam memperkukuh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia menjadi sebahagian usaha Matrade untuk menerapkan penggunaan teknologi dalam urusan perdagangan khususnya di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
“Sejak saya diberi amanah menjadi Pengerusi Matrade, saya dapati adaptasi kepada teknologi amat penting. Sebab itu, antara inisiatif kami adalah memastikan Matrade par dengan perkembangan teknologi yang ada.
“Ia selaras dengan pengiktirafan yang diterima MITEC sebagai pusat persidangan terbaik Asia 2023,” katanya, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi (SKM), Amran Abdul Kadir ketika Majlis Pelancaran Kiosk Panas Express, iaitu kedai serbaneka berkonsepkan Al tanpa pekerja, di MITEC, di sini.
Ia merupakan kerjasama di antara Koprojaya dan Smart Meal dalam memperkenalkan Panas Ekspress di MITEC.
Reezal Merican berkata, Matrade selaku pemilik MITEC mengalu-alukan inisiatif dan kolaborasi kedua-dua pihak terbabit yang membuktikan dokongan terhadap agenda kerajaan untuk memperkasakan teknologi AI.
Beliau menyifatkan, ia bukan satu kerjasama yang ‘biasa-biasa’ kerana melibatkan inisiatif sebuah koperasi pegawai-pegawai kerajaan bersama pemain industri.
“Saya puji kerjasama strategik Koprojaya yang ada ‘speed’ dan ‘adapt’ dengan perkembangan semasa. Ini membuktikan ‘orang-orang gomen’ berkebolehan untuk bawa perkembangan teknologi menjadi realiti.
“Keupayaan ini tentunya disokong agensi-agensi kerajaan seperti SKM serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menjadi tulang belakang terhadap perkembangan koperasi di Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE