fbpx

Malang hilang kad pengenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wong (tengah) ketika di sidang akhbar di Wisma MCA hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang kehilangan kad pengenalan 16 tahun lalu bingung apabila namanya didaftarkan sebagai ibu kepada tiga orang kanak-kanak yang dilahirkan oleh individu lain.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Wong, 38, berkata, dia juga hidup dalam ketakutan apabila pernah diburu along yang menuntutnya untuk membuat bayaran pinjaman sebanyak RM90,000 yang dibuat oleh individu yang mengaku dirinya sebagai suami wanita berkenaan.

Katanya, dia telah kehilangan kad pengenalan tersebut pada tahun 2008 dan laporan mengenainya sudah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pada tahun 2015 semasa saya mahu mendaftar perkahwinan di JPN, saya dimaklumkan bahawa rekod JPN menunjukkan saya mempunyai tiga orang sedangkan ketika itu saya baru berkahwin.

“Kes tersebut dirujuk kepada JPN di Putrajaya untuk siasatan lanjut tetapi sehingga kini masih belum selesai dan secara sahnya saya merupakan ibu kepada tiga orang kanak-kanak tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Wong berkata, identiti individu yang telah menyalahgunakan kad pengenalannya terbongkar apabila dia menjadi buruan along pada tahun 2022.

“Saya dimaklumkan ‘suami’ saya meminjam wang dari mereka, tetapi apabila diselidik rupa-rupanya ‘suami’ itu adalah bapa saudara saya sendiri yang telah mengambil kad pengenalan saya dan menyalah gunakannya.

“Apabila bersemuka dengannya, dan laporan polis dibuat bapa saudara saya telah menipu pihak polis dengan mendakwa saya telah menyerahkan kad pengenalan tersebut secara sukarela,” katanya.

Katanya, selepas kejadian itu dia tidak pasti apakah tindakan yang dikenakan kepada bapa saudaranya selain mereka kini sudah terputus hubungan dengan lelaki berkenaan.

“Saya bimbang kad pengenalan saya akan disalah gunakan lagi. Kini saya hidup dalam ketakutan kerana saya tidak tahu selain along siapa lagi akan memburu saya.

“Sembilan tahun berlalu tetapi kes pendaftaran tiga kanak-kanak itu masih lagi belum selesai kerana pihak JPN masih belum berjaya mendapatkan penjelasan daripada pihak bapa saudara yang kini masih gagal dikesan,” katanya.

Katanya, difahamkan bapa saudaranya itu mempunyai hubungan dengan seorang wanita warga asing dan dipercayai tiga orang kanak-kanak tersebut merupakan anak-anaknya daripada hasil hubungan tersebut.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes salah guna identiti merupakan masalah serius dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada pelaku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI