JAKARTA – Lesen memandu Indonesia akan diiktiraf secara rasmi di beberapa negara Asia Tenggara bermula 1 Jun tahun depan, lapor saluran berita CNN Indonesia semalam.
Langkah itu akan membolehkan warga Indonesia untuk memandu di luar negara tanpa memerlukan permit memandu antarabangsa.
Polis Metro Jaya berkata menerusi satu catatan di platform X bahawa pengiktirafan itu terpakai di Filipina, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, Brunei, Singapura dan Malaysia.
Menurut Pengarah Pendaftaran dan Pengenalan Kenderaan bahagian Trafik Polis Indonesia, Yusri Yunus, kad pengenalan juga akan berfungsi sebagai lesen memandu.
Bahkan, integrasinya diperkemas dengan dokumen undang-undang lain seperti nombor pengenalan cukai dan rekod keselamatan sosial.
“Reka bentuk lesen memandu baharu juga akan menampilkan logo kategori seperti Kelas A untuk kereta, manakala Kelas C bagi motosikal.
“Ia dapat membantu pihak berkuasa asing untuk mengenal pasti lesen yang digunakan,” kata Yusri.
Lesen memandu Indonesia telah diiktiraf di sebahagian besar di Asia Tenggara sejak 1985 di bawah Perjanjian Pengakuan Surat Izin Mengemudi Domestik yang diperluaskan pada 1997, untuk merangkumi lebih banyak negara termasuk Kemboja. – AGENSI