SUNGAI BULOH – Lebih 30 orang wakil syarikat yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta pengurusan tertinggi mengikuti sesi diskusi eksklusif Diskuzi Zakat Di Kedai Kopi atau Dizkopi CEOs anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, pertemuan bersama peneraju utama syarikat korporat terutamanya pengeluar zakat untuk berkongsi pandangan, idea dan kritikan membina berkaitan urus tadbir pengurusan zakat.
“Kami mahu meningkatkan kesedaran dan kepentingan zakat dalam kalangan pemimpin korporat. Di samping itu, pertemuan ini juga bertujuan membina rangkaian kerjasama strategik antara LZS dan sektor korporat serta memperkaya idea dan pendekatan inovatif dalam pengurusan zakat,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap pada Program Dizkopi CEOs di KEBUN by Brick & Glass, Sungai Buloh, Selangor di sini hari ini.
Antara syarikat korporat yang terlibat dalam Dizkopi CEOs termasuklah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Koridor Utiliti Selangor, Central Spektrum Sdn. Bhd, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Columbia Asia dan lain-lain.
Katanya, program Dizkopi merupakan inisiatif LZS dengan menyediakan platform dialog terbuka melibatkan mereka daripada pelbagai latar belakang untuk memberi pendedahan mengenai pengurusan zakat serta mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan kutipan zakat dan kecekapan pengurusan asnaf.
Sebelum ini, program yang sama telah diadakan bersama pempengaruh dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan.
“Program ini dimulakan dengan diskusi santai panel Utama dan seterusnya perbincangan meja bulat yang mana resolusi dibincangkan akan diangkat ke
peringkat tertinggi LZS untuk dijadikan agenda pemerkasaan kutipan dan agihan zakat di Selangor.
“Sehingga Jun 2024, LZS telah berjaya mengutip zakat sebanyak RM559.3 juta.
“Daripada jumlah tersebut, RM101.1 juta dikutip melalui zakat perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE