KUALA LUMPUR – KWC Fashion Wholesale (KWC) telah bekerjasama dengan Tiktok Malaysia dan jenama Locco menganjurkan Kempen Merdeka 2024.
Kempen julung kali yang diadakan di premis tersebut bertujuan mempromosikan pakaian tradisional dalam kalangan masyarakat bersempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia.
Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC, Wendy Lam berkata, program selama sehari itu telah dirangka hampir setengah tahun dan dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM80,000.
“Kami mengharapkan kerjasama dengan Tiktok Malaysia dapat memberi idea baharu kepada peniaga kami untuk mengembangkan perniagaan mereka secara online selain daripada membuka kedai secara fizikal di sini.
“Tiktok berkembang dengan sangat cepat dan maju, yang mana ia mampu untuk membantu meluaskan perniagaan para peniaga kecil terutamanya,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Merdeka 2024 itu di sini baru-baru ini.
Wendy berkata, melalui kempen tersebut, promosi secara langsung daripada 100 kedai pada hari berkenaan telah mendapat sambutan menggalakkan kerana peniaga telah terdapat pelbagai tawaran menarik dan baucar tunai.
Sementara itu, Pengurus Pusat KWC, Fiona Bong berkata, pihaknya sangat teruja dengan kempen untuk menyambut kemerdekaan dengan tema ‘Tradisi Kita, Kebanggaan Malaysia’.
“Inisiatif ini bukan sahaja menghormati warisan budaya negara tetapi turut menyatukan masyarakat dalam menghargai kepelbagaian pakaian tradisional kita.
“Kita juga haruslah bersama-sama memberi inspirasi dan berbangga dengan identiti nasional dan memupuk hubungan yang lebih mendalam sesama masyarakat berbilang kaum,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE