MENCETUSKAN kejutan apabila memberi bayangan mahu menarik diri daripada pemilihan Wali Kota Batu, Jawa Timur, diva terkenal, Krisdayanti kemudian membuat pusingan U.
Selepas berkongsi keinginan menarik diri dalam media sosialnya, pelantun lagu Menghitung Hari itu mengadakan sidang media di kediamannya pada 23 Ogos lalu.
Di hadapan wakil media, Krisdayanti memutuskan untuk menarik balik hasrat menarik diri dan sedia bertanding bagi pemilihan Wali Kota Batu (Pilwali) 2024.
“Saya sepakat untuk terus maju dalam pencalonan Wali Kota Batu mengikut arahan pimpinan PDI Perjuangan (PDIP), Ketua Umum Megawati Soekarnoputri,” katanya.
Bekas isteri kepada penyanyi Anang Hermansyah itu juga menjelaskan hantaran dalam Instagram yang mencetuskan spekulasi mengenai pengundurannya hanya disebabkan hal peribadi selain ingin beri keutamaan kepada keluarga.
“Saya memohon maaf apabila hantaran saya menimbulkan kebimbangan. Tapi itu adalah hal manusiawi saya,” tambahnya.
Krisdayanti juga menyampaikan terima kasih atas sokongan masyarakat Kota Batu yang berharap dirinya terus maju dalam pilihan raya itu.