PETALING JAYA- IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan keuntungan RM2.94 bilion untuk tahun kewangan 2024 (FY2024) yang berakhir pada 30 Jun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng pretasi hebat itu disumbangkan oleh pelbagai segmen perniagaan.
“Segmen pelaburan hartanah mengekalkan prestasi cemerlangnya dengan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 32 peratus.
“Segmen hospitaliti dan riadah juga berkembang sebanyak 26 peritus didorong oleh sumbangan daripada Moxy Putrajaya, sebuah hotel 480 bilik yang dibuka sebelum Tahun Baharu Cina dan terbaharu 150 bilik di W Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, keuntungan sebelum cukai pada FY2024 melonjak 42 peratus kepada RM2.30 bilion berbanding RM1.62 bilion yang dilaporkan pada FY2023.
Prestasi ini menunjukkan keupayaan IOIPG untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi global sambil mengekalkan kestabilan dalam semua segmen perniagaannya di Malaysia, Singapura dan China.
“Kami gembira dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan IOI dalam memberikan keputusan cemerlang untuk FY2024.
“Walaupun kami menyedari bahawa persekitaran operasi global mungkin terus menghadapi cabaran, kami tetap komited untuk meningkatkan tawaran hartanah kami yang pelbagai di tiga negara.
“Sekali gus, mengembangkan portfolio pelaburan hartanah yang mantap untuk memastikan pendapatan berulang yang stabil dan memanfaatkan pandangan positif segmen hospitaliti serta riadah kami.
Ujarnya, inisiatif strategik itu akan menyediakan IOIPG dengan asas yang kukuh untuk pendapatan yang mampan di masa hadapan.
“Sehubungan itu, kami dengan sukacitanya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.0 sen untuk FY2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE