PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 dan diesel masing-masing sebanyak 5 sen bagi tempoh bermula esok hingga 4 September ini.
Ekoran itu, harga runcit petrol RON97 turun kepada RM3.42 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun kepada RM3.18 seliter seiring dengan penurunan harga pasaran minyak dunia.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit minyak.
Langkah ini, katanya, dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Sehubungan itu, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism bagi tempoh tersebut.
“Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MOF berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE