KUALA LUMPUR – “Apa sahaja tawaran pelaburan, waima ustaz sekali pun yang ‘mensohihkan’, ‘mensyariahpatuhkan’ jangan percaya. Itu penipuan,” tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Beliau sekali lagi meminta orang ramai berwaspada serta tidak mempercayai sebarang bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial kerana kesemuanya perlu dianggap sebagai penipuan.
“Saya ada tengok sendiri, yang seorang berkopiah dan ustaz. Saya tak nak cerita nama apa benda, tapi meyakinkan orang ‘masuklah ni ada beberapa peratus dalam saham ni dan kalau dibuat pelaburan, akan menguntungkan jika kita cepat dan sebagainya’.
“Benda begini yang saya bimbang, orang mudah terpengaruh. Menggunakan agama untuk pancing orang buat pelaburan penipuan. Saya tak salahkan ustaz ni, kadang dia pun telah kena scam dan dia sendiri tak tahu.
“Sebab itu ilmu kena ada, mana mana perjalanan (pelaburan) betul ke tak, berdaftar ke tak. Dengan kurangnya ilmu itu menyebarkan kepada orang lain dan akhirnya semua jadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ramli berkata, antara lain yang tular di media sosial ialah berkenaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) kononnya bagi syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Orang ramai diingatkan berwaspada kerana dikhuatiri ia penipuan. Tawaran ini dibuat individu berperwatakan agama di media sosial, tiada jaminan ia adalah skim pelaburan yang tulen.
“Perlu diingat bahawa IPO memerlukan proses tertentu perlu dipatuhi. Pelabur yang berminat untuk menyertainya digesa membuat semakin dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang merupakan badan penguat kuasa bagi aktiviti pelaburan di Malaysia,” katanya.
Berhubung perkembangan terkini skim pelaburan Pantheon Ventures, Ramli berkata, sejak Julai hingga kini, sebanyak 97 laporan polis diterima dengan nilai kerugian RM41,010,460.41.
“Siasatan setakat ini mendapati, modal minimum bagi menyertai pelaburan sekitar RM50,000 dan ini mengakibatkan jumlah kerugian dialami setiap seorang mangsa amat besar.
“Setakat ini, jumlah kerugian tertinggi adalah RM5.75 juta melibatkan seorang mangsa berusia 63 tahun yang membuat laporan polis di Kuala Lumpur pada 15 Ogos,” ujarnya.
Katanya, mangsa ialah pengarah syarikat telah melayari laman Facebook dan berminat menyertai pelaburan tersebut, seterusnya dimasukkan ke WhatsApp Group serta diarahkan membuat pembayaran kepada beberapa akaun bank untuk pelaburan.
Pengadu telah membuat 26 transaksi ke beberapa akaun bank milik syarikat berbeza dengan nilai keseluruhan RM5.75 juta. – KOSMO! ONLINE