TEMERLOH – Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah selepas lori dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah treler di Jalan utama Bukit Damar- Lanchang di sini malam semalam.
Mangsa yang maut merupakan seorang warganegara Bangladesh berumur 37 tahun dan seorang warganegara Pakistan berumur 35 tahun.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 9.26 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Raub menuju ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori terbabas ke kiri jalan di atas bahu jalan tidak berturap dan masuk semula ke laluan utama dan termasuk ke laluan bertentangan.
“Tiba-tiba datang treler dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan lori menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas masuk ke dalam gaung di sebelah kanan jalan sejauh 20 meter,” katanya di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, dua penumpang lori mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori dan treler serta serta seorang lagi penumpang lori mengalami kecederaan.
Menurutnya mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan permukaan jalan rata manakala semasa kejadian jalan basah kerana hujan dengan tahap pencahayaan gelap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE