KUALA LUMPUR – Guna suara mirip kenalan atau rakan kononnya ingin meminjam wang ekoran kesusahan, namun sebenarnya memperdaya orang untuk mendapatkan wang sehingga mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.
Itu taktik penipuan menggunakan ‘deepfake’ yang mana sebelum ini lazimnya menggunakan penghantaran mesej WhatsApp dengan menyamar sebagai kenalan untuk mendapatkan wang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima dua lagi laporan polis melibatkan dua mangsa wanita berusia 26 dan 50 tahun masing-masing di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 23 Ogos lalu.
“Mangsa seorang pereka dalaman ditipu sebanyak RM3,000 setelah dihubungi ‘rakannya’ bagi tujuan meminjam wang.
“Kes di Pulau Pinang pula melibatkan suri rumah ditipu RM4,800 oleh ‘kenalannya’ yang mendakwa telah kehilangan beg duit dan telefon. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu menerusi kenyataan media pada 23 Ogos, telah melaporkan satu taktik penipuan terbaharu melibatkan mangsa berusia 63 tahun ditipu nombor tidak dikenali mendakwa ‘kenalan’ mangsa.
“Polis Diraja Malaysia tidak menolak kemungkinan teknologi ‘deepfake’ digunakan dalam kes ini bagi meniru suara kenalan mangsa,” ujarnya.
Ramli menjangkakan taktik penipuan sebegitu akan menjadi serius memandangkan ia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) merangkumi ‘deepfake’ dan sebagainya.
“Tak lama lagi siap paparan muka sebagainya dan ini telah berlaku di Amerika Syarikat. Ada laporan kononnya anak kemalangan dan memerlukan pemindahan wang segera. Mak dia dalam keadaan panik, anak beritahu telefon tak boleh digunakan.
“Kira-kira pukul 3 pagi, mak dia telefon balik dan rupanya anak ada tidur di dalam rumah. Benda begini memang boleh berlaku kerana ada muslihat tertentu orang sebegini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE