fbpx

Balai Seni Negara di Ipoh dijangka beroperasi tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Balai Seni Negara di Ipoh, Perak dijangka akan mula beroperasi pada tahun hadapan.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan berkata, pembukaan balai seni itu merupakan salah satu strategi dalam merancakkan aktiviti seni di Perak sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri itu.

Katanya, sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam memperkasa seni visual negara, Balai
Seni Negara terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada pengunjung selain turut memberi komitmen yang tinggi dalam menyediakan pelbagai platform buat seniman tempatan.

“Balai Seni Negara juga melangkah ke arah pelaksanaan inisiatif ‘desentralisasi’, bertujuan untuk merayakan seni bersama komuniti tempatan dan membentuk masyarakat yang kreatif serta produktif.

“Langkah ini selaras dengan tujuh teras utama yang digariskan dalam Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Balai Seni Negara yang menyambut ulang tahun ke-66 hari ini memaklumkan telah memperoleh kira-kira lebih 5,000 koleksi seni visual negara sejak penubuhannya pada tahun 1958.

“Sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam memelihara dan memulihara hasil seni, kejayaan Balai Seni Negara dapat dilihat dengan penubuhan Pusat Repositori dan Konservasi Seni Negara yang juga dikenali sebagai ‘Art Hospital’.

“Pusat ini berperanan memantapkan lagi tanggungjawab sedia ada dalam mengurus koleksi dan konservasi seni serta menawarkan khidmat nasihat, restorasi dan storan koleksi seni kepada orang awam,” ujarnya.

Selain itu, komitmen Balai Seni Negara dalam menyemarakkan seni dapat dilihat dengan penubuhan cawangan Balai Seni Negara di Langkawi, Kedah.

“Ia bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang buat penggiat seni tempatan untuk berkarya serta mempromosikan aktiviti kesenian di pulau berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI