fbpx

Arman San hilang di dasar laut sebelum ditemui maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR Arman San (kanan) dipercayai diambil sebelum melakukan operasi savraj KD Pendekar yang tenggelam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Penyelam Ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I Arman San Hermansa dilaporkan hilang di dasar laut sebelum ditemui maut ketika melakukan operasi savraj KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, di sini.

Difahamkan, mangsa, Arman San, 28, memulakan selaman pertama bersama seorang lagi rakan sepasukan kira-kira pukul 10.09 pagi hari ini.

Menurut sumber, semasa melakukan selaman kedua, kedua-dua penyelam untuk melakukan operasi ketenteraan bagi menjalankan siasatan punca kapal perang jenis Pembinasa Laju milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu karam.

“Ketika timbul di permukaan laut kira-kira pukul 11.29 pagi, rakan sepasukannya memaklumkan Arman San hilang di dasar laut sebelum operasi mencari mangsa digerakkan.

“Mangsa ditemui kira-kira pukul 12.55 tengah hari sebelum dibawa naik dan pasukan perubatan memberikan bantuan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 1.05 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Markas TLDM mengesahkan kejadian itu selain memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Allahyarham Arman San akan diterbangkan pulang ke kampung halamannya di Kampung Sapagaya, Lahad Datu, Sabah sejurus proses bedah siasat selesai.

KD Pendekar yang telah berkhidmat selama 21 tahun itu tenggelam kira-kira pukul 12 tengah hari, Ahad lalu di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI