KUALA LUMPUR – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. ( Andalusia) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Saudi Tourism Authority (STA) dan We Express untuk Pakej Menelusuri Sirah dan Umrah bersama Alif Satar.
Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, pakej tersebut mendapat kerjasama erat daripada STA sebagai penasihat dan disokong oleh We Express serta beberapa organisasi lain seperti kereta api laju SSTPC.
“Bermula hari ini (semalam) dilancarkan pakej umrah istimewa yang turut digabungkan dengan aktiviti pelancongan menarik di Mekah dan Madinah.
“Sehubungan itu, jemaah yang mengikuti pakej ini akan mendapat pengalaman berbeza berbanding umrah sebelum ini kerana mereka akan dibawa melawati tempat-tempat ziarah yang berlainan.
“Pada kali ini kita akan berada dua malam di Riyadh dan satu malam di Al Ula,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian bersama STA dan We EXpress di sini semalam.
Tambah Isa Riswana, Pakej Menelusuri Sirah dan Umrah bersama Alif Satar akan berlangsung pada 17 Disember hingga 28 Disember 2024.
“Sehubungan itu, orang ramai sudah boleh mendapatkan pakej tersebut bermula hari ini dengan harga bermula RM12,290 hingga RM15,990.
“Berita baiknya, sehingga hujung bulan ini kita berikan diskaun sebanyak RM300,” katanya.
Sementara itu, Duta We Express, Alif Satar berkata, perjalanan umrah pada kali ini sangat berbeza dengan pelbagai pengisian yang menarik.
“Antaranya Geng Subuh Macam Jumaat, berkhemah pada waktu malam di padang pasir dan Fun Walk & Run sejauh 4 kilometer dari Masjid Nabawi ke Masjid Quba.
“Kita akan melalui jalan-jalan yang pernah dilalui Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dan juga tempat-tempat bersejarah lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE