SUNGAI BULOH – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganggarkan kira-kira 1,000 syarikat bumiputera di Selangor yang aktif dan layak belum melunaskan zakat perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, data tersebut berdasarkan dapatan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kami menjangkakan sekurang-kurangnya 30,000 syarikat bumiputera yang aktif dan layak membayar zakat di Selangor berdasarkan pendaftaran syarikat di Perkeso.
“Tetapi yang masih belum membayar zakat dianggarkan kira-kira 1,000 syarikat.
“Secara keseluruhannya, jumlah tersebut melibatkan perniagaan jenis individu (pemilikan tunggal) dan syarikat (sendirian berhad),” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Dizkopi CEO’S anjuran LZS di sini hari ini.
Tambah beliau, walau bagaimanapun, pihaknya memerlukan kajian lebih lanjut dan pengiraan lebih tepat bagi memastikan sama ada mereka sebenarnya layak atau tidak.
Terdahulu, lebih 30 wakil syarikat yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta pengurusan tertinggi mengikuti sesi Dizkopi CEO’s untuk mengupas pelbagai isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan zakat.
Dizkopi merupakan program berkala yang melibatkan pelbagai latar belakang peserta dengan bertujuan menjadi platform memperkukuhkan pengurusan dan kutipan zakat.
Jelas beliau, usaha tersebut merupakan salah satu langkah untuk merapatan diri dengan semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin organisasi, pempengaruh dan usahawan.
“Oleh itu, ini adalah antara salah satu dakwah kami untuk menyebarkan mengenai kepentingan menunaikan zakat perniagaan di samping zakat pendapatan.
“Salah satu cabaran kami adalah untuk mengesan dan mendedahkan para peniaga tentang zakat kerana berbeza berbanding dahulu perlu ada tempat fizikal untuk berniaga tetapi kini ia boleh dijalankan secara atas talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE