PETALING JAYA – Pelbagai cara dan kaedah telah dijalankan pihak sekolah terutamanya bagi mendidik para pelajar mengenai kasih sayang terhadap negara terutamanya dalam bulan kemerdekaan selama ini.
Majlis-majlis sambutan Hari Kebangsaan yang biasa dilakukan di sekolah antara lain bagi memupuk sikap patriotik dalam kalangan pelajar malah untuk tenaga pengajar itu sendiri.
Namun, setiap perancangan walau serapi mana sekali pun, kebiasaannya masalah tetap akan muncul sepertimana yang berlaku pada satu sambutan Hari Kebangsaan di sebuah sekolah di Selangor baru-baru.
Menerusi satu klip video yang sedang tular di media sosial ketika ini memaparkan, seorang pengetua sekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Jelutong terpaksa menggunakan Jalur Gemilang asing yang lain apabila bendera asal yang sepatutnya menjadi gimik acara didapati beku.
Klip video tersebut menunjukkan, satu Jalur Gemilang dibekukan bersama ais untuk dijadikan gimik perasmian majlis, namun bendera tersebut tidak berkibar kerana telah beku bersama ketulan ais.
Video tersebut turut memaparkan beberapa tenaga pengajar lain terpaksa menukar bendera beku tadi kepada bendera lain untuk dipacakkan di atas satu platform berpusing.
Orang ramai yang menyaksikan video tular itu turut meninggalkan komen mereka dan memberi cadangan untuk sambutan pada tahun hadapan perlu dibuat dengan kaedah dan cara lain.
“Tak apa cikgu, tahun depan buat lain. Jangan yang beku-beku dah, buat jatuh dari langit pula,” kata Budak_rentung.
“Dah tak boleh buka pula, itukan kain mesti la beku sekali kalau disimpan dalam peti. Tahun depan fikir cara lain pula cikgu, kesian budak-budak nak tengok,” jelas Hashif Ramadan. – KOSMO! ONLINE.