fbpx

Ulat gulung daun ‘serang’ 700 hektar sawah di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ulat gulung daun yang menyerang tanaman padi di Perlis sejak kira-kira sebulan lalu.

KANGAR – Hasil tuaian padi kira-kira 352 pesawah di negeri ini dijangka merosot selepas sebahagian sawah terjejas akibat diserang ulat gulung daun atau dikenali sebagai ulat putih sejak kira-kira sebulan lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad, serangan ulat itu melibatkan kawasan sawah Wilayah 1 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas kira-kira 700 hektar.

“Boleh dikatakan sawah di lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah seliaan MADA di negeri ini diserang ulat putih. Serangan tidak menyeluruh dalam satu kawasan sawah, sebaliknya bertompok-tompok,” katanya ketika ditemui di kawasan sawah terjejas di sini semalam.

Kata beliau, serangan ulat itu akan merencatkan pertumbuhan, seterusnya merosakkan pokok padi yang dijangka dituai kira-kira dua minggu lagi.

“Serangan ulat ini sering berlaku, namun kaedah kawalan yang berkesan perlu dilakukan bagi mengelak ia merebak ke kawasan sawah lain dan menjadi bertambah serius,” ujarnya.

Menurutnya, langkah-langkah pengawalan serangan itu sedang giat dilakukan dengan menyembur racun yang sesuai.

“Kemerosotan hasil bergantung kepada usia padi dan tahap serius serangan. Jika pokok padi itu sudah mahu dituai, ia tidak banyak terjejas. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika tanaman diserang pada peringkat awal lagi. Jika tidak dikawal, hasil padi di Perlis boleh merosot sekurang-kurangnya 40 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Simpang Empat di sini, Ku Hashiam Ku Bakar berkata, serangan ulat putih itu berlaku secara mendadak dan hasil padi dijangka berkurangan.

“Kebiasaannya padi yang diserang ulat ini akan menjadi ringan menyebabkan hasil jualan nanti berkurangan. Sawah saya sendiri pun ada yang diserang ulat ini, namun saya telah buat langkah kawalan dengan menyembur racun.

“Saya sembur racun tiga kali seminggu, namun cuaca ketika ini hujan dan agak menyukarkan pesawah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI