KUALA LUMPUR – Peguam Negara (AG) mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka pertikaian tidak boleh dibuat mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada sesiapa boleh menggunakan konsep ‘double standard’ dengan menyifatkan kerajaan tidak adil apabila siasatan dikenakan terhadap mereka.
“Yang saya (disiasat), dia kata kerajaan berlaku adil, bila kena dekat mereka, kerajaan tidak berlaku adil, double standard, tolongah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program International Social Security Association (ISSA) Technical Seminar on Self Employment and Gig Workers (KSM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Hari ini, Muhyiddin menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang susulan ceramahnya berkait raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Polis sebelum ini menyiasat laporan dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendakwaan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, sekali gus menimbulkan banyak lagi persoalan lain.
Mengimbas kembali siasatan yang dijalankan terhadapnya, Ahmad berkata, dakwaan dibuat terhadapnya meskipun siasatan masih belum selesai.
“Kalau mereka, kata tergesa-gesa, kalau kena dekat saya, oh ini satu siasatan yang sangat komprehensif’.
“Ini realiti yang bila awak buat salah, siasatan yang telah dilakukan, Peguam Negara mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa.
“Saya dulu didakwa sebelum siasatan selesai, itu sebab di dalam saya menghadapi pertuduhan, pindaan dibuat terhadap tuduhan itu,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE