PETALING JAYA – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah membantu usaha menjejak mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India menerusi kepakaran dan sokongan teknologi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sedia membantu walaupun kejadian itu berlaku di kawasan seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kita memang akan beri kerjasama sepenuhnya sebab insiden yang berlaku adalah akibat bencana alam. Sama juga seperti kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
“Walaupun ia adalah jalan negeri Selangor, tetapi JKR beri bantuan teknikal sebab kita ada kepakaran, jadi kita bantu,” katanya ringkas menerusi audio yang dikongsikan kepada media, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah jerlus berhampiran Masjid India.
Mangsa dikatakan terjatuh sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, dan usaha menjejak mangsa sudah memasuki hari kelima, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan kepakaran tempatan dari pelbagai sudut digunakan sepenuhnya dalam SAR di lokasi-lokasi terlibat. – KOSMO! ONLINE