PETALING JAYA – Berhenti menggunakan media sosial antara langkah yang disarankan oleh pelakon Amyra Rosli bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa buli siber.
Kata Amyra atau nama lengkapnya Nur Amira Izzati Rosli, 33, tindakan itu boleh diambil bagi mengatasi perasaan tertekan atau ketagih terhadap platform digital itu.
“Kalau rasa diri itu sudah tidak mampu lagi (kritikan), berhenti menggunakan media sosial. Ada banyak perkara lagi yang boleh dilakukan.
“Sedar ruang diri dan kita buang jauh-jauh benda yang tidak sepatutnya kita ambil tahu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Amyra, dia turut mengambil pendekatan sama iaitu tidak melayari media sosial sekiranya berdepan dengan kritikan netizen.
Amyra turut berpendapat menghabiskan masa terlalu lama mengguna media sosial hanya akan membuatkan dirinya tidak aktif.
“Kalau 24 jam menggunakan telefon (media sosial), tanpa melalukan kerja lain akan membuatkan saya berasa letih dan otak tidak berfungsi.
“Pada saya perkara ini tidak sihat. Paling penting kita kena tahu fungsi telefon itu untuk apa. Jika ingin mengisi masa lapang atau mencari ketenangan, ada banyak perkara yang boleh dibuat terutama melibatkan aktiviti fizikal.
“Elakkan daripada menjadi ketagih kerana situasi itu akan mendatangkan kemudaratan. Hati-hati dan pandang diri sendiri serta tengok kekuatan diri sendiri. Paling penting jangan campur urusan orang lain,” jelasnya.
Pelakon yang terkenal dengan drama Nur itu turut menitipkan nasihat agar jangan terlalu obses dengan perkongsian pengguna media sosial yang kebanyakan hanya mempamerkan keindahan berbanding keburukan. – KOSMO! ONLINE