PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat agar lebih separuh daripada 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara bakal menjalani latihan kenegaraan yang berkaitan tema Malaysia Madani.
Usaha itu menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar akan dilakukan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, siri yang dirangka itu sejajar persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar AKM menjadi peneraju bagi latihan kenegaraan.
Inisiatif tersebut tambahnya, diharapkan mampu memperkasakan ilmu kenegaraan dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat membabitkan semua lapisan masyarakat.
Malahan modul latihan yang disusun AKM kata Shamsul Azri, lebih komprehensif dengan kurikulum memenuhi keperluan semasa bagi memupuk perasaan cinta kepada negara. – KOSMO! ONLINE