KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berjaya memperbaiki ranking dunia apabila menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu kini menghuni ranking No. 4 dunia berdasarkan senarai kedudukan terbaharu dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam kemaskini yang dikeluarkan BWF sebentar tadi menyaksikan pemain dari Alor Setar, Kedah itu naik dua anak tangga daripada kedudukan keenam dunia sebelum ini biarpun tersingkir pada pusingan awal Terbuka Jepun minggu lalu.
Aksi terbaik ketika meraih pingat gangsa pada Oluimpik Paris membolehkan Zii Jia itu mengumpul 83,716 mata untuk memintas dua lagi pemain iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris dari Thailand, Kunvalut Vitidsarn dan Anders Antonsen dari Denmark.
Ranking pertama masih kekal milik jaguh China, Shi Yu Qi dan bintang tenis Denmark yang juga pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, Viktor Axelsen di tempat kedua, manakala pemain Indonesia, Jonathan Christie naik dua anak tanggga untuk berada ranking No. 3 dunia.
Sementara itu, beregu lelaki negara yang meraih gangsa di Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula kekal di ranking ketiga dunia, manakala juara beregu lelaki di Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut kekal di kedudukan ke-12 dunia.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang cemerlang ketika membuat penampilan sulung di Paris turut naik satu anak tangga untuk berada di ranking No. 9 dunia berbanding ke-10 dunia sebelum ini dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal di kedudukan kesembilan. -KOSMO! ONLINE