PETALING JAYA – Bersempena sambutan Hari Merdeka 2024 pada hujung bulan nanti, rata-rata orang ramai ternanti-nanti persembahan atau perbarisan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seperti tahun-tahun sudah, antara yang paling dinantikan oleh rakyat Malaysia adalah persembahan aset-aset udara daripada Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) terutamanya Sukhoi SU30MKM yang dikatakan model jet tempur terbaik di rantau ini.
Namun, tinjauan di media sosial mendapati, rakyat Malaysia ramai yang meminta untuk TUDM mempamerkan salah satu aset yang cukup dikenali ramai iaitu F/A-18D Hornet Pikachu.
Kenapa dinamakan Pikachu? Bagi peminat ketenteraan, aset berusia 27 tahun milik TUDM itu jet tempur yang paling dikenali kerana mempunyai warna tema seperti watak animasi popular dari Jepun, Pikachu.
Pikachu TUDM ini juga bukan calang-calang kerana lengkap dengan pelbagai senjata canggih malah sudah melalui proses penyelenggaraan ‘depot level’ dikenali sebagai ‘Local Planned Maintenance 12 Years’ (LPM-12Y) pada 2023.
Skim warna kuning berkenaan pula dibuat sempena ulang tahun ke-25 perkhidmatan pesawat berkenaan dalam TUDM.
Sejak bermulanya Eksesais Pitch Black 2024, Pikachu turut terbabit bersama dua Lagi pesawat F/A-18D Hornet bersama pasukan udara negara lain. -KOSMO! ONLINE.