ALOR GAJAH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan program Santuni Madani KPT@KSB (Kuala Sungai Baru) sebagai usaha menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan potensi penduduk kampung.
Sesi libat urus secara langsung itu adalah bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung berkenaan.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, sehingga kini dua siri pengumpulan sampah telah dilakukan dan sebanyak 800 kilogram sisa plastik berjaya dikumpulkan di sepanjang lima zon sasaran di Pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini.
Zon terbabit ialah KSB Resort, Sekolah Rendah Arab (SRA) Al-Falah, Homestay Datuk Azman, Ngeteh Cafe & Persatuan Nelayan.
Jelasnya, secara dasarnya program tersebut bertujuan untuk membantu penduduk kampung memperindahkan kawasan sekitar mereka yang kebanyakannya dibangunkan menjadi perusahaan inap desa sebagai punca pendapatan.
“Program ini adalah untuk memberikan kesedaran umum mengenai kepentingan menjaga kebersihan di kawasan-kawasan yang tiada petugas khas atau kontraktor pembersihan. Kebiasaannya hanya penduduk kampung membersihkan sendiri sampah sarap di sini.
“Namun dalam masa sama, kita juga cuba wujudkan potensi sumber pendapatan lain. Sebab itu kita nak tahu berapa banyak sisa yang berjaya dikutip dan sekiranya dapat kumpul sekitar 200 sehingga 300 kilogram seminggu, itu akan menjadi sumber kewangan baru untuk penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turut bersama-sama menjalankan siri kedua program Santuni Madani KPT@KSB, di Pantai Kuala Sungai Baru, di sini Ahad lalu.
Ujarnya, program tersebut telah digerakkan melalui usaha sama sukarelawan daripada lima institut pendidikan tinggi iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Melaka (Unimel), Politeknik Melaka dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.
Selain itu, penglibatan ahli persatuan penduduk setempat dan warga KPT sendiri membabitkan jumlah keseluruhan sukarelawan seramai 500 orang.
Mengulas lanjut Zaini berkata, kaedah tersebut juga telah diguna pakai di beberapa negara lain termasuk Indonesia yang mengitar semula sisa pepejal plastik menjadi produk baharu dan menjualnya pada harga lebih mahal.
“Banyak negara termasuk di Surabaya misalnya, memang susah untuk jumpa sisa plastik kerana orang berebut kutip dan menjualnya. Bahan ini menjadi sumber pendapatan baharu buat penduduk di sana kerana mempunyai nilai.
“Inilah hasrat kita. Kita mahu bina ekosistem ini, amalan kutip sampah ini dapat membawa manfaat kewangan kepada penduduk di sini.
“Ini juga selari dengan inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan,” katanya.
Jelasnya, satu kajian akan dikendalikan oleh UTeM untuk melakukan beberapa proses iaitu pengasingan, timbangan serta kutipan data sampah bagi penyelidik mencadangkan penyelesaian berkaitan usaha berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya menyasarkan untuk melakukan lapan lagi siri kutipan sisa pepejal sehingga hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE