KUALA KRAI – Penyebaran ajaran sesat Millah Abraham dipercayai meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di seluruh negara beberapa tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana, kumpulan tersebut menggunakan media sosial untuk mengembangkan ideologi ajaran sesat yang dibawa oleh pengikut mereka.
Bagaimanapun, katanya, penyebaran ajaran itu masih lagi terkawal dengan beberapa tangkapan telah dilakukan membabitkan pengikut ajaran berkenaan.
“Sehubungan itu, kita terus bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memantau penyebaran ajaran tersebut di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Peluncuran Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Jenal, Dabong di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE