PETALING JAYA – Para pengimport durian dari China sedang mengkaji untuk membawa masuk durian jenis lain, selain musang king ke pasaran negara berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara yang tersenarai adalah durian kampung.
“Sama-sama kita berdoa agar pada masa hadapan, durian kampung juga akan dapat permintaan yang tinggi di China.
“Susulan itu, semua penanam durian akan turut menikmati hasil daripada usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook ketika mengadakan lawatan ke gudang pembungkusan dan pengedaran durian segar di sebuah syarikat di Shenzhen.
Dalam masa sama, beliau turut teruja dengan permintaan yang sangat tinggi terhadap durian musang king dari Malaysia di Shenzhen.
“Tempoh masa yang diambil untuk durian segar Malaysia diedarkan ke outlet-outlet jualan di Shenzhen hanya mengambil masa 2 hari sahaja.
“Saya lihat durian jenis musang king Malaysia dijual sekitar RM350 sebiji di sini dan mendapat permintaan yang amat tinggi. Hanya dalam masa beberapa jam, kesemua stok telah habis terjual,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE