KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk memastikan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat dilaksanakan segera selepas Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kebajikan pekerja gig bakal dibentangkan di Parlimen Oktober depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira kepedulian jangka masa panjang kumpulan itu dan bukan hanya perlindungan sosial semata-mata.
Dalam konteks ini, katanya, pekerja gig dan mereka yang bekerja sendiri perlu diberi latihan berterusan seperti ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran.
“Majlis TVET Negara juga telah menyusun beberapa kaedah dan pedagogi untuk pekerja gig bagi mengikuti kursus TVET yang bukan hanya mereka minati, tetapi yang mempunyai kadar kebolehpasaran tenaga kerja mengikut kehendak pasaran tenaga kerja di Malaysia.
“Ini kerana, kita mengambil kepedulian ketika pekerja gig mungkin mencapai umur lebih 40 tahun, produktiviti mungkin menurun.
“Maka, ia penting bagaimana keluarga dan anak-anak harus dijaga dengan adanya kerjaya yang dipersiapkan untuk mereka melalui program yang diikuti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.
Bertemakan ‘Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform’, seminar itu memberi fokus kepada perbincangan produktif bagi menyumbang kepada masa depan lebih inklusif untuk semua pekerja dalam ekonomi global.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga merancang satu program dengan menawarkan elaun dan pembelajaran percuma kepada pekerja ekonomi gig termasuk e-hailing dan p-hailing.
“Terdapat satu program yang kita telah rancang di mana disamping mereka bekerja sebagai pekerja gig, kita mahu sediakan kursus upskilling dan reskilling dengan memberikan elaun dan pembelajaran percuma,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya perasmian, Ahmad Zahid berkata, visi ISSA 2024 bukan sahaja membantu membina ekonomi gig yang lebih adil, tetapi turut merapatkan jurang antara sektor formal dan tidak formal dalam
pasaran buruh semasa.
“Sebagai langkah signifikan dalam memformalkan ekonomi gig, strategi semasa Malaysia turut meliputi kewujudan perlindungan undang-undang dan hak yang jelas untuk pekerja gig melalui pembentukan SEGiM.
“Secara dasarnya, Malaysia kini proaktif ke arah penubuhan Akta Pekerja Gig yang berfokuskan kepada p-hailing dan e-hailing,” katanya. – KOSMO! ONLINE