KLANG – Pelabuhan Klang diyakini berupaya mencapai sasaran menjadi 10 pelabuhan tersibuk di dunia, tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia susulan pencapaian pelabuhan itu yang meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-11 tahun lalu selepas diumumkan Lloyd List, baru-baru ini.
Jelas beliau, Pelabuhan Klang mencatatkan peningkatan kendalian kontena dagangan import dan eksport sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, pelabuhan itu mencatatkan pertumbuhan positif dan hanya dibezakan 400,00 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dengan Pelabuhan Hong Kong.
“Pemerhatian mendapati trend Pelabuhan Klang semakin meningkat dan saya yakin kita mampu mencapai ‘top 10’ dunia tahun ini,” katanya selepas merasmikan Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier Peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Menurut Anthony Loke, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) perlu memastikan kelancaran semua fasilitinya bagi merealisasikan sasaran tersebut.
Tambah beliau, indikator positif ekonomi negara turut meliputi jumlah kendalian TEU import dan eksport di sektor pelabuhan negara meningkat peratus tahun ini. – KOSMO! ONLINE