fbpx

Padah terima rasuah RM3,000, bekas polis kena penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kabilann ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas anggota polis makan suap sebanyak RM3,000 pada dua tahun lalu, memakan diri apabila dihukum penjara sehari dan denda RM6, 000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Rasuah tersebut sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki warga Nepal yang ditangkap kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, S. Kabilann, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut mengenakan denda RM6,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayarnya.

Kabilann didakwa semasa kejadian sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima wang tunai sebanyak RM3,000 menerusi akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 47 yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugasnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Kapar pada 13 Disember 2022 seterusnya melakukan kesalahan mengikut Sesyen 165 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh semasa kejadian bertugas di cawangan lokap Berpusat IPD Shah Alam telah menakut-nakutkan seorang lelaki bahawa kesalahan dilakukan seorang warga Nepal yang akan dijaminnya atas pergaduhan bersenjata boleh dihukum penjara beberapa tahun.

Tertuduh telah menghubungi lelaki itu dan meminta memasukkan RM3,000 dalam akaun miliknya bagi melepaskan warga Nepal berkenaan dan menerima wang suapan itu pada 13 November, dua tahun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman paling ringan susulan mempunyai pekerjaan tetap sejak dua tahun lalu selepas dibuang kerja.

“Saya kini hanya penjaga parkir dan menyara ibu bapa dan dua anak yang masih kecik,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon hukuman berat kerana pengakuan bersalah tertuduh hanya bersifat pilihan.

“Mohon mahkamah melihat status tertuduh semasa kejadian adalah penjawat awam yang menyalahgunakan amanah yang diberikan kepadanya. Jadi hukuman yang diberi adalah sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI