PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai suami kepada wanita yang mendakwa dirinya diculik pada Khamis lalu di Mersing, Johor tampil memohon maaf kepada orang ramai atas tindakan isterinya.
Menerusi akaun TikToknya, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Amir Asraf menganggap dirinya telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.
Dalam perkongsian itu, turut disertakan sekeping artikel Kosmo! Online berhubung kehilangan isterinya berserta video pendek dirinya berpelukan dengan rakan lelaki sambil menangis.
“Saya ingin memohon maaf atas semua kesalahan isteri saya. Saya sebagai suami dia berasa sudah gagal menjalankan tanggungjawab.
“Saya tak kuat menerima ujian begitu berat sekali. Akhir sekali saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kecuaian mendidik isteri saya dengan baik,” katanya di ruangan kapsyen.
Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita mendakwa dirinya diculik oleh tiga orang lelaki yang menaiki Perodua Myvi warna hitam kira-kira pukul 3 petang.
Sehubungan itu, suami wanita tersebut membuat hebahan di media sosial mengenai kehilangan isterinya serta cuba mencari di kawasan berdekatan.
Namun, hasil siasatan polis mendapati wanita tersebut ditemui selamat bersama dengan lelaki yang dipercayai teman lelaki di Rompin, Pahang.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 2 petang, di Tanjung Gemok, Rompin.
Katanya, pihaknya menerima laporan mengenai wanita berusia 24 tahun yang disyaki dilarikan lelaki tidak dikenali diterima pukul 5.23 petang, Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE