fbpx

MGB Berhad jayakan 30,000 unit Rumah Idaman MBI buat rakyat Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (empat dari kanan) ketika menyerahkan replika kunci Rumah Idaman BSP kepada salah seorang penerima disaksikan oleh Hock San (tiga dari kiri) di Bandar Saujana Putra, Puchong, hari ini.

PUCHONG – Anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS), MGB Berhad dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor hari ini menjayakan Projek Rumah Idaman MBI sejumlah 30,000 unit sebagai solusi pemilikan kediaman buat rakyat di negeri ini.

Pembangunan strategik yang terletak di Bandar Saujana Putra itu, merupakan rumah pertama daripada enam buah projek Rumah Idaman MBI di bawah MGB Berhad dan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor.

Bermula dengan harga RM250,000, kesemua unit dilengkapi dengan perkakas penting termasuk penghawa dingin, peti sejuk, almari, kabinet dapur televisyen, dan pemanas air beserta pilihan reka bentuk pelan berbeza.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir. (Dr) Lim Hock San berkata, Rumah Idaman MBI ini merupakan suatu perkongsian pintar antara Kerajaan Negeri Selangor dan pihak swasta yang dibina dengan menggunakan teknologi berinovasi tinggi.

Ujarnya, inisiatif ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan hasrat untuk membina lebih 200,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2028.

“Sukacita juga saya kongsikan di sini, bahawa jualan Rumah Idaman MBI ini amat memberangsangkan dan kekal sebagai segmen sasaran utama bagi MGB.

“Untuk makluman, unit-unit Rumah Idaman MBI ini turut dibina dengan menggunakan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) milik MGB Berhad.

“Produk ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, apabila MGB terlibat di dalam melaksanakan pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang di Jeddah, Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman BSP di Bandar Saujana Putra, di sini, hari ini.

Turut merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan dihadiri Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Yang Mulia Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Amirudin (paling kiri), Hock San (tengah) dan Borhan Aman ketika melihat salah sebuah Rumah Idaman BSP, Bandar Saujana Putra yang dilengkapi dengan perkakas elektrik dan perabot untuk memenuhi keperluan pengguna.

Projek perumahan yang terdiri daripada 1,312 unit pangsapuri dua blok itu mempunyai keluasan 19.3 ekar dan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM375 juta.

Seperti semua pembeli kediaman LBS, pemilik Rumah Idaman BSP juga berpeluang untuk menyertai Keahlian eksklusif ‘LBS Perks & Plusses’, yang menawarkan pelbagai faedah dan keistimewaan kepada pembeli.

Dalam pada itu, salah seorang penerima kunci Rumah Idaman BSP, Aidy Raslan Ramli, 30, berkata dia bersama isterinya, Amni Mohd. Shamshudin, 28 berasa amat teruja dapat menduduki rumah impian pertama sejak berkahwin tiga tahun lalu.

Aidy dan isterinya yang sebelum ini menyewa di Puchong Prima berkata, disamping harga yang murah dan mampu milik, Rumah Idaman BSP juga sangat istimewa kerana menyediakan pelbagai perkakas penting.

Salah seorang penerima kunci Rumah Idaman BSP, Aidy Raslan Ramli dan isterinya Amni Mohd. Shamshudin berasa teruja dapat menduduki rumah impian pertama sejak berkahwin tiga tahun lalu.

“Kami hanya tinggal nak beli perabot-perabot yang lain seperti sofa dan barang-barang kecil lain. Alhamdulillah kami cukup berpuas hati dengan rumah yang ditawarkan.

“Harapan kami agar Kerajaan Negeri Selangor memperbanyakkan lagi unit rumah seperti ini buat rakyat negeri Selangor khususnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI