fbpx

LTdL 2024 telan kos lebih RM15 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka menelan kos tinggi melebihi RM15 juta selepas edisi ke-28 itu akan memasuki Pulau Langkawi dan kemuncaknya berakhir di Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan jumlah keseluruhan penganjuran LTdL 2024 tetapi mengakui berlaku sedikit peningkatan kerana terpaksa menampung kos logistik.

Pada edisi lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya memperuntukkan RM8 juta tetapi sebagai penganjur, MSN memerlukan bajet lebih besar, sekitar RM15 juta hingga RM16 juta untuk menjayakan perlumbaan berkelas dunia itu.

Pada edisi 2020, kos penganjuran LTdL meningkat apabila memerlukan peruntukan sekitar RM20 juta selepas perlumbaan turut memasuki Sabah dan Sarawak sebelum kemuncak di Pulau Langkawi.

“Saya tidak boleh mendedahkan angka sebenar kerana kos agak tinggi sedikit tetapi kita (MSN) ada bajet kita sendiri. Tetapi kadang-kadang bajet penganjuran LTdL ini boleh berubah bila-bila masa.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan, kalau bajet RM15 juta kita hanya boleh buat empat hingga lima peringkat perlumbaan terutama di semenanjung sahaja.

“Kali ini perlumbaan edisi ke-28 sedikit berbeza kerana kita akan menyeberang lautan dengan mengadakan perlumbaan di Pulau Langkawi dan Sarawak.

“Disebabkan itu, bajet akan tertumpu kepada logistik dan menyebabkan peningkat kos sedikit tinggi pada tahun ini,” katanya pada Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Tourism Malaysia bersama MSN semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai kos penajaan keseluruhan, Rasyid mengakui segalanya berjalan positif kerana ada beberapa syarikat bakal memuktamadkan kerjasama tidak lama lagi.

Katanya, buat masa ini, Tourism Malaysia bersetuju meneruskan kerjasama strategik apabila memberi penajaan bernilai RM1 juta sekali gus menjadi pemegang jersi Polka Dot Raja Bukit bagi perlumbaan berprestij Asia tersebut.

“Kita akan buat pengumuman berkaitan penajaan, cuma saya belum boleh umumkan jumlah kerana ada yang masih dalam perbincangan dan belum umumkan sepenuhnya berapa mereka nak beri. Ada penaja yang belum ada angka penajaan.

“Tidak molek kalau saya sebut berapa angka kerana kita ada lebih kurang sebulan lagi, masih ada penaja yang nak masuk,” kata Rashid.

CAPTION

RASHID (tengah) menunjukkan jersi Polka Dot Raja Bukit yang bakal menjadi rebutan pelumba pada saingan LTdL 2024 nanti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI