SEPANG – Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan akan diteruskan biarpun terdapat bantahan dibangkitkan oleh Gabungan Internet Asia (AIC).
Katanya, baru-baru ini tindakan AIC mengutuskan surat secara terbuka termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan agak aneh.
“Saya berpendirian dalam perbincangan dengan wakil syarikat-syarikat sewaktu bertemu di Singapura (sebelum ini) mereka memberikan reaksi positif dan saya kekal dengan pendirian itu.
“Ia agak pelik malah agak janggal apabila Grab mengeluarkan kenyataan, mereka tak ada kaitan (dengan surat berkenaan)…kita serah kepada AIC untuk menjawab,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat dikeluarkan oleh AIC bagi membantah rancangan kerajaan melesenkan platform media sosial.
Fahmi berkata, AIC tidak mewakili semua platform media sosial yang terlibat namun, hanya melibatkan sejumlah syarikat sahaja.
Jelasnya, beliau sentiasa terbuka untuk mengadakan pertemuan bersama pihak AIC.
“Sejujurnya, saya bersedia bertemu dengan pihak AIC atau mana-mana pihak sekalipun…mungkin AIC belum diberi maklumat mengenai garis masa yang ditetapkan oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia),” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengulangi pendirian kerajaan bahawa paltform media sosial dan sistem pesanan internet perlu dikenakan kerangka kawal selia bagi menjamin internet lebih selamat untuk rakyat Malaysia.
Terdahulu, melalu surat terkini oleh gergasi IT itu termasuk Google, Meta, Amazon dan Apple membantah rancangan kerajaan untuk melesenkan media sosial telah diperhalusi berbanding versi asalnya.
AIC menyifatkan pelesenan itu sebagai tidak praktikal sebelum menukar ayat itu kepada ia akan memberi kesan buruk kepada inovasi. – KOSMO! ONLINE