PIHAK pengurusan Selangor FC mengesahkan kedudukan Nidzam Jamil masih selamat buat masa ini, tetapi ‘post mortem’ bakal tetap dilakukan selepas menyaksikan pasukan kalah pada aksi final Piala FA, Sabtu lepas.
Sebagai rekod, misi skuad Gergasi Merah untuk menamatkan kemarau trofi domestik hampir sembilan tahun tidak berjaya selepas tewas memalukan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon enggan menekan butang panik sebaliknya akan tetap berbincang dengan Nidzam mengenai cara untuk meningkatkan kualiti pasukan pada masa akan datang.
“Keputusan adalah sesuatu yang sukar untuk kita kawan kerana ada ketika menang, kalah dan seri. Justeru, kita tidak boleh ukur (masa depan) Nidzam) seperti itu.
“(Berdasarkan rekod) Nidzam pun pernah meraih keputusan seri dengan JDT sebelum ini (ketika bergelar pemangku jurulatih). Mana-mana jurulatih Selangor FC pun sukar untuk dapatkan keputusan tersebut.
“Justeru, kita tidak boleh nilai hanya kerana malam ini, tetapi pihak kami dan Nidzam akan sentiasa berbincang.
“Bukan sahaja aksi final, namun semua perlawanan pun ada post mortem. Kita nilai mana-mana perlawanan yang diharungi sama penting,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sebagai rekod, Nidzam baru dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih Gergasi Merah pada Mac lepas bagi menggantikan posisi Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan pada Februari lalu.
Nidzam yang telah bersama Selangor FC sejak 2021 selaku penolong ketua jurulatih turut pernah memegang tugas sebagai pemangku ketika pengendali import, Michael Feichtenbeiner dipecat pada September 2022.