KUALA LUMPUR – Anak aktor veteran Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Jebat bersyukur apabila perbicaraan kes tuntutan sebidang tanah selesai selepas lima tahun berlangsung.
Kata Jebat, 37, keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi itu sekali gus membuktikan dia tidak terlibat dengan tuduhan memalsukan dokumen surat wakil tanah seperti yang didakwa oleh plantif iaitu Jeffrey Jins dan Hang Tuah.
Jelasnya, tanah tersebut telah diberikan kepada dia ketika Allahyarham masih hidup pada 2013 (menerusi surat kuasa wakil) sebelum dijual pada 2015.
“Saya rasa sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah dan ini membuktikan saya berada di pihak yang benar.
“Tanah tersebut sudah diberikan kepada saya dan dijualkan juga ketika arwah ayah masih hidup dan waras. Saya juga tidak terlibat dalam memalsukan sebarang dokumen dan bukanlah seorang yang tamak harta,” ujarnya.
Jebat yang ditemui pada sidang media penjelasan harta Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin di sini hari ini turut memberitahu, dia sekeluarga berasa terkilan dan tertekan dengan tuduhan yang dibuat pihak plantif.
Tambahnya, situasi itu turut membuatkan ibunya Puan Sri Halijah Abdullah tertekan kerana tuduhan tersebut.
“Dia (ibu) runsing dan memikirkan tentang perkara ini. Pastinya dia berasa risau kerana perlu melalui fasa perbicaraan ini selama lima tahun.
“Memang ada pihak yang bertanya dan bercakap tentang perkara itu (memalsukan dokumen), tetapi kami hanya diam dan tidak membalas kenyataan di media sosial.
“Malah arwah ayah juga sudah berpesan agar jangan terlalu terburu-buru sekiranya perkara itu belum benar-benar sahih. Jadi saya biarkan saja mahkamah yang tentukan,” katanya.
Ditanya sama ada akan memaafkan plantif kerana telah membuat tohmahan tersebut, Jebat meminta agar dia diberikan masa sebelum memaafkan tindakan dua adik-beradiknya itu.
“Jika benar saya ini tamak harta, semua harta arwah ayah saya akan ambil, bukan satu ini saja. Kalau kata saya tamak, kenapa dia (Hang Tuah) melakukan kaveat (amaran atau melindungi daripada melakukan sebarang tindakan ke atas tanah tanpa pengetahuan) ke atas semua tanah dan harta tanah arwah ayah.
“Kita memang marah, tetapi untuk memaafkan itu saya rasa belum lagi setakat ini. Mungkin ada masanya nanti, untuk saya berbuat demikian.
“Insya-Allah, pada masa akan datang dan saya sebenarnya berlapang dada,” katanya.
Sebelum ini Jeffrey Jins dan Hang Tuah @ Shazrin memfailkan saman terhadap anak ketiga Jins Samsuddin, Putera Hang Jebat atas dakwaan memalsukan dokumen surat wakil sebidang tanah seluas 0.265 hektar yang terletak di Kampong Pasir, Gombak.
Tanah itu dijual dengan harga RM2.75 juta pada 2015 kepada seorang individu iaitu Barakatul Kamaria Ahmad.
Sementara itu, menurut peguam Jebat iaitu Amirfarid Nawawi, prosiding pembahagian harta secara faraid masih dalam proses. – KOSMO! ONLINE