fbpx

K2

Haruman merdeka ‘terjemah’ tempat-tempat dalam KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Koleksi itu terdiri daripada lokasi-lokasi di Kuala Lumpur antaranya Jalan Petaling, Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan lain-lain.

TEMPAT atau lokasi yang menarik sering dijadikan inspirasi dalam penghasilan minyak wangi oleh pembuat minyak wangi dari seluruh dunia.

Hal ini kerana haruman mampu menggamit memori, seterusnya menjadikan kita terkenang pengalaman tertentu yang dikaitkan dengan aroma yang dihidu.

Mengambil inspirasi daripada lokasi-lokasi sekitar ibu kota Kuala Lumpur untuk diterjemah dalam bentuk minyak wangi, pengasas jenama minyak wangi tempatan, Medin Fragrance, Mohd. Fitri Mohamad Phahimi berkata, dia mahu bercerita tentang sejarah Kuala Lumpur menerusi haruman.

Mohd. Fitri, 35, yang mengasaskan Medin Fragrance sejak 2016 berkata, minat terhadap minyak wangi telah mendorongnya untuk mengasaskan jenamanya sendiri dengan diberi sentuhan sejarah negara.

“Saya menghasilkan siri minyak wangi yang dipanggil ‘Kuala Lumpur Series’.Menerusi siri ini, saya menterjemah 10 lokasi-lokasi yang ada di Kuala Lumpur antaranya Jalan Petaling, Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tuanku Abdul Rahman menerusi sebotol minyak wangi.

“Setiap wangian ini mempunyai jalan cerita yang menarik dan berkonsepkan seni serta budaya Malaysia,” katanya.

MOHD. FITRI melancarkan minyak wangi ‘Kuala Lumpur Series’ Sabtu lalu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67.

Malah, raw material atau bahan mentah yang digunakan dalam penghasilan setiap minyak wangi itu juga adalah daripada pengeluar dan bahan tempatan.

“Sebagai contoh, saya menggunakan aroma kayu gaharu atau oud daripada kayu gaharu yang ditanam di Malaysia. Lazimnya, gaharu ini sering dikaitkan dengan aroma yang terhasil dari minyak wangi keluaran Asia Barat, namun untuk Medin Fragrance, saya memilih aroma gaharu Malaysia, supaya orang lain juga boleh tahu bahawa negara kita turut menghasilkan aroma gaharu,” katanya.

Ujar Mohd. Fitri lagi, koleksi terbaharunya yang dilancarkan pada Sabtu lalu di butik Medin Fragrance yang terletak di aras dua bangunan Medan Mara, Jalan Raja Laut adalah bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67.

“Koleksi ini dinamakan Jiwa Merdeka dan dalam koleksi edisi terhad ini, salah satu minyak wangi yang menarik bagi saya adalah minyak wangi yang diberi nama Jalan Raja Laut.

“Bagi mereka yang tidak tahu, Raja Laut merupakan seorang pembesar negeri Selangor satu ketika dahulu. Almarhum juga mendapat gelaran ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.

“Justeru, elemen seperti bauan segar dari laut kemudiannya digabungkan dengan aroma buah-buahan seperti lemon dan aprikot yang menghasilkan satu wangian yang harmoni,” katanya.

berinspirasikan lokasi-lokasi sekitar Kuala Lumpur, ilustrasinya juga dihasilkan mengikut tempat berkenaan.

Mengakui industri minyak wangi di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan industri minyak wangi dari negara-negara pengeluar minyak wangi dunia seperti Perancis dan Itali, Mohd. Fitri bagaimanapun gembira melihat minat yang mula ditonjolkan oleh generasi muda khususnya terhadap seni penghasilan minyak wangi.

“Ramai pelanggan saya rata-ratanya adalah golongan muda yang mula menunjukkan minat serta faham tentang keperluan menghasilkan minyak wangi dengan identiti tempatan dan ini adalah satu perkembangan yang baik.

“Sejujurnya, saya membuat minyak wangi dengan konsep sebegini adalah dengan tujuan mahu memberi sedikit sumbangan dan juga pemahaman lebih mendalam terhadap warisan budaya Malaysia.

“Oleh sebab itu, selain kualiti dan keunikan haruman, saya turut memberi penekanan terhadap aspek lain seperti ilustrasi pada botol minyak wangi kami, supaya ia benar-benar menggambarkan lokasi-lokasi pilihan ini, sebagai usaha berkongsi ilmu dan juga pengalaman menarik kepada pelanggan,” katanya.

Koleksi terbaharu Medin Fragrance boleh dibeli di butik label itu atau pun secara online menerusi akaun TikTok @medin_fragrance pada harga RM159 sebotol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI